MUKADIMAH

Selamat datang ke blog Saya Bangga Menjadi Guru!
Blog ini telah dicipta khas untuk semua guru pelatih yang sedang mengikuti kursus Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan(PPISMP) dan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG ini. Semua bahan-bahan yang ingin dikongsikan bersama bolehlah dihantar ke alamat shafiq.islamicteacher@gmail.com demi manfaat bersama.

Sabtu, Februari 12, 2011

Pilihan Raya Kampus

Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis bakal digegarkan oleh Pilihan Raya Kampus yang akan berlangsung dalam tempoh 3 minggu bermula daripada Majlis Pembubaran Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Sesi 2009/2010 pada tanggal 08 Februari 2011 sehinggalah kepada Majlis Watikah Pelantikan JPP Sesi 2011/2012 pada tanggal 1 Mac 2011. Mahasiswa-mahasiswa IPG Kampus Perlislah yang bertanggungjawab dalam menentukan barisan mahasiswa yang bakal memegang tampuk pemerintahan JPP kali ini. Jalankanlah tanggungjawab anda dengan sebaiknya dalam pilihan raya ini, bukan kerana paksaan atau desakan pihak pentadbiran kampus tetapi kerana kesedaran diri sendiri. Pemimpin-pemimpin yang bakal anda pilih adalah pemimpin-pemimpin yang bakal menerajui kepimpinan JPP bagi sesi 2011/2012. Pilihlah calon-calon yang terbaik daripada segenap aspek bukan sahaja akademik, bahkan akhlak dan sahsiah yang terpuji serta mempunyai bakat kepemimpinan yang tinggi kerana individu-individu seperti inilah yang akan memastikan keberkesanan sistem kepimpinan JPP bagi sesi 2011/2012.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang Gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu".
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Muslim,
Abu Daud, al-Tirmizi dan Ahmad)

Daripada hadis di atas, dapatlah disimpulkan bahawa setiap individu adalah pemimpin dalam kehidupan mereka. Maka pimpinlah setiap kepimpinan anda dengan sebaik mungkin kerana sesugguhnya setiap kepimpinan itu akan dipersoalkan oleh Allah suatu hari nanti di akhirat kelak. Kepada bakal-bakal mahasiswa yang bakal memimpin kepimpinan JPP kali ini, tunaikanlah tanggungjawab anda sebagai suara mahasiswa IPG Kampus Perlis dengan sehabis baik. Sesungguhnya anda adalah pemimpin yang terpilih daripada kalangan ratusan mahasiswa yang bertanding. Maka laksanakanlah dan peliharalah kepercayaan yang telah diberikan oleh semua mahasiswa IPG Kampus Perlis kepada diri anda. Jadikanlah JPP ini sebagai satu wadah untuk menyiapkan diri anda untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran dunia masa hadapan serta menimba pengalaman berharga yang tidak sesekali dapat diperoleh melalui mana-mana buku.